Monday, February 14, 2011

MASA UNTUK BERSATU MEMBANTU MANGSA BENCANA
1. Kita dikejutkan lagi dengan masalah banjir di beberapa buah negeri seperti Johor, Melaka dan Pahang. Di Johor misalnya keadaan nampak cukup kritikal seolah-olah mahu mengulangi situasi bah yang sama seperti pada tahun 2006.
2. Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan dilaporkan semakin meningkat dengan pembukaan lebih banyak lagi pusat-pusat penempatan sementara. Keadaan bertambah buruk lagi apabila ramalan Jabatan Meteorologi menunjukkan keadaan cuaca yang tidak begitu memberangsangkan di mana hujan di jangka berterusan di beberapa buah tempat tersebut.

3. Bencana alam sememangnya tidak mengenal mangsanya terutamanya dari segi pegangan idelogi politik, umur, jantina, agama mahupun bangsa mangsa yang terlibat. Dalam hal ini kita daapt lihat kepelbagaian dalam mangsa yang terlibat seperti orang Melayu, Cina dan India malah Orang Asli juga terlibat di Pahang.

4. Justeru persoalan pokok sekarang ialah sejauh mana semua pihak yang terlibat yang boleh dikatakan sebagai penyedia bantuan kepada mangsa bencana alam mampu memainkan peranan mereka masing-masing.

5. Apakah masing-masing bergerak bersendirian mengikut kumpulan sasaran masing-masing ataupun sanggup memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa mempedulikan latar belakangnya?

6. Sejauh mana juga kesemua pihak dan agensi yang terlibat dapat bersatu dengan berganding bahu menyediakan bantuan secara bersepadu dengan penyelarasan yang lebih teratur sering menjadi satu isu yang diperdebatkan apabila berlaku sesuatu musibah seperti sekarang.

7. Seperti yang sedia maklum pihak kerajaan menyelaraskan kesemua agensi yang terlibat di bawah Majlis Keselamatan Negara malah banyak NGO juga turut bernaung di bawah agensi pusat ini bagi memudahkan urusan pengumpulan data, maklumat dan seterusnya melaksanakan urusan pengagihan bantuan yang diperlukan.

8. Namun berlaku juga keadaan di mana masih ada mangsa yang kadang-kadang terbiar atau tidak mendapat bantuan yang sewajarnya hanya kerana alasan terlepas pandang mahupun bukan kroni mereka ataupun disebabkan perbezaan idelogi politik.

9. Keadaan ini menyebabkan mangsa bencana yang terlibat terus dirundung malang dan tidak mendapat pembelaan dan perhatian yang sewajarnya. Mereka terus dianak tirikan daripada menerima bantuan yang sepatutnya menjadi hak mereka.

10. Justeru dalam situasi seperti sekarang yang melibatkan sejumlah besar rakyat kita di beberapa buah negeri yang cukup menderita akibat banjir secara fizikal, mental dan juga rohani, semua pihak perlu bersatu dalam semua aspek agar bantuan dapat disalurkan dengan cepat, mudah, cekap dan kepada mereka yang betul-betul memerlukannya.

11. Bantuan yang diperlukan oleh mangsa kebiasannya boleh dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama semasa bencana sedang berlaku dan fasa kedua ialah selepas bencana berlaku atau lebih dikenali sebagai fasa pemulihan.

12. Pada peringkat permulaan iaitu fasa pertama seperti sekarang sudah semestinya mangsa ini memerlukan tiga keperluan asas iaitu tempat tinggal, bantuan makanan dan juga keperluan peribadi seperti pakaian dan barangan hygiene untuk meneruskan kehidupan mereka dalam keadaan bencana seperti ini.
13. Keperluan-keperluan seperti ini perlu diselaraskan dari segi penyediaan kemudahan dan juga pengagihan bantaun yang diperlukan agar kesemua mangsa yang terlibat akan menikmati bantaun secara saksama.
14. Begitu juga halnya pada peringkat akhir iaitu semasa fasa pemulihan di mana kebanyakkan daripada kita selalunnya lebih menitikberatkan bantuan semasa bencana berlaku dan lupa tentang bantuan yang diperlukan oleh mangsa selepas bencana berakhir.
15. Fasa pemulihan adalah suatu tempoh masa yang sangat penting dan kritikal di mana mangsa amat memerlukan bantuan dari pelbagai aspek seperti pembersihan rumah dan kawasan perumahan, memerlukan bantuan buku-buku dan kelengkapan persekolahan anak-anak yang rosak mahupun hilang semasa banjir, ada juga yang memerlukan bantuan untuk membina semula rumah kediaman yang rosak teruk serta bantuan kaunseling kepada semua mangsa yang terlibat untuk pulih daripada trauma benca alam terbabit.

16. Ini menunjukkan tugas menyediakan bantuan kepada mangsa banjir bukanlah suatu tugas yang mudah dan ianya berterusan walaupun bencana alam terbabit telah berakhir. Oleh yang demikian ianya memerlukan penyatuan, penyelarasan dan komitmen yang sangat tinggi daripada semua pihak yang terlibat agar dapat menjayakan misi bantaun yang hendak dilaksanakan.
17. Pihak kerajaan, pembangkang, syarikat-syarikat korporat, orang Melayu, Cina, India dan semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan perbezaan ideologi politik perlu bersatu atas semangat 1Malaysia agar dapat mengumpul tenaga sukarelawan dan mengumpul dana yang diperlukan sebagai sumber pembiayaan bantuan melalui tabung-tabung mangsa bencana alam supaya dapat menyediakan dan menyalurkan bantuan yang sewajarnya secara adil dan saksama kepada semua mangsa yang terlibat.

18. Inilah juga masanya untuk wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat baik Ahli Parlimen mahupun ADUN untuk turun padang menunaikan tanggungjawab mereka kepada pengundi masing-masing tanpa memilih bulu.

19. Diharapkan rungutan-rungutan yang pernah kita dengar sebelum ini daripada mangsa bencana alam yang tidak berpuas hati dengan bantuan yang disalurkan dapat dikurangkan dalam musim bencana kali ini. Ketepikanlah segala perbezaan yang ada dan marilah kita bersatu dalam menghadapi dugaan dan malapetaka ini ini. Bantulah secara ikhlas atas semangat 1Malaysia.

No comments: