Monday, February 14, 2011

HAYATI MAULIDUR RASUL DALAM SEMANGAT 1MALAYSIA
1. Bersyukur kita kerana tahun ini sekali lagi dapat meraikan suatu hari yang cukup penting dan bermakna kepada seluruh umat Islam di dunia ini. Tarikh keramat 14 Rabiul Awal akan terus diingati sebagai hari lahirnya seorang insan mulia yang membawa rahmat dan petunjuk kepada seluruh makhluk dunia yang kekal hingga ke hari ini.
2. Sperti biasa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1432 Hijrah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya di mana Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan majlis perasmian sambutan tersebut.

3. Majlis ini yang secara tradisinya telahpun menjadi salah satu acara rasmi negara dengan diberi cuti umum merupakan satu lagi usaha murni dan berterusan pihak kerajaan dalam meneruskan dan menegakkan syiar Islam dalam negara kita yang terdiri daripada penduduk pelbagai latar belakang agama dan keturunan.

4. Tema yang dipilih untuk sambutan tahun ini juga agak menarik iaitu '1Malaysia, 1Ummah' dan mengikut pihak Jakim ianya membawa makna umat Islam diseru untuk bersatu dengan menyayangi agama, bangsa dan negara di samping menanam azam bagi melahirkan satu ummah yang mampu membawa kedamaian dan keadilan berpaksikan kepada al-Quran dan sunah.
5. Sambutan kali ini dilihat cukup signifikan bukan sahaja kepada seluruh umat Islam di dunia tetapi juga kepada kita di Malaysia terutamanya dari dua aspek yang boleh kita jadikan sebagai panduan dan iktibar dalam kita meneruskan kehidupan sebagai sebuah masyarakat yang majmuk.

6. Pertama, pergolakan politik di beberapa buah negara Islam seperti Mesir dan Tunisia mengingatkan kita betapa nikmatnya hidup dalam sebuah negara yang aman dan makmur walaupun berbeza agama dan bangsa.

7. Walaupun kadang kala berlaku sedikit pergolakan dan pergeseran sesama kita tetapi hakikatnya kita masih boleh berbangga dengan apa yag kita miliki sebagai sebuah model negara majmuk yang boleh bersatu padu dan menikmati kehidupan yang bahagia dan sempurna.

8. Justeru melalui sambutan Maulidur Rasul ini sepatutnyaa diterjemahkan segala ajaran yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan umat Islam wajar menjadi contoh teladan yang baik kepada penganut agama yang lain. Dalam erti kata lain umat Islam wajar mengangkat martabat masing-masing menjadi pemimpin yang disegani oleh semua pihak.

9. Hal ini penting demi mengekalkan keamanan yang ada pada kita pada hari ini di samping membantu membina sebuah negara yang makmur dan sejahtera dengan berkongsi kehidupan yang harmoni.

10. Aspek kedua ialah masyarakat kita wajar menjadikan sambutan Maulidur Rasul kali ini sebagai peluang dan wadah yang terbaik untuk merapatkan kembali hubungan antara umat islam dengan rakan-rakan dari agama lain yang dilihat sedikit terjejas, tercalar dan terguris mutakhir ini akibat daripada beberapa peristiwa yang mengambil tempat dalam masayarakat kita.

11. Insiden seperti tidak mematuhi etika pemakaian di masjid serta isu kekeliruan dalam laungan azan baru-baru ini dilihat sebagai antara peristiwa yang tidak wajar berlaku andai semua pihak memahami dengan jelas amalan dan gaya hidup setiap penganut agama yang ada di negara kita.

12. Rakyat kita kaya dengan pelbagai amalan, adat dan budaya mengikut ajaran agama masing-masing baik agama Islam, Buddha, Kristian mahupun Hindu yang jelas memerlukan satu sikap pemahaman dan toleransi yang kuat di antara satu sama lain agar kita dapat menghormati ajaran dan amalan penganut setiap agama tersebut. Ini penting demi menjaga hati dan perasaan setiap rakyat kita kerana kegagalan kita dalam memahami dan menghormati ajaran agama lain boleh mengguris hati dan perasaan rakan-rakan kita ayng lain.

13. Maka apa yang diharpkan ialah sambutan Maulidur Rasul kali ini perlu dihayati dan disambut dalam konteks semangat 1Malaysia di mana umat Islam perlu buktikan kepada rakan mereka dari agama lain bahawa Islam adalah agama yang mulia, bertoleransi dan sentiasa membawa kepada kebaikan.

14. Ciri-ciri keperibadian Nabi perlu ditonjolkan agar ianya menjadi contoh teladan kepada rakan-rakan dari agama lain supaya mereka akan secara langsung memandang tinggi dan menghormati penganut agama Islam.

15. Budaya sayang menyayangi dan hormat menghormati yang dianjurkan oleh Islam wajib diangkat sebagai nilai utama kehidupan seluruh rakyat Malaysia dalam konteks 1Malaysia demi melahirkan sebuah bangsa Malaysia yang bertamadun dan berjaya.

No comments: