Monday, February 14, 2011

PERKHIDMATAN POS UBAT KE RUMAH CETUS TRANSFORMASI BIDANG PERUBATAN
1. Mutakhir ini isu berkaitan perkhidmatan kesihatan mula mendapat perhatian khalayak terutamanya apabila melibatkan caj rawatan yang tetlalu tinggi di hospital swasta serta rungutan rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan di beberapa buah hospital kerajaan.
2. Dalam hal ini kita perlu akui bahawa aspek kesihatan adalah keperluan asas manusia dan rakyat sememangnya mengharapkan agar pihak kerajaan akan menyediakan kemudahan perkhidmatan kesihatan yang baik secara percuma ataupun pada kadar kos yang paling minima.

3. Justeru bagi menangani pelbagai isu yang timbul, penulis dapat merasakan kesungguhan pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara terus menerus melaksanakan pelbagai inisiatif baharu dan penambahbaikan demi menyediakan perkhidmatan perubatan dan perawatan yang terbaik kepada rakyat.

4. Transformasi kesihatan boleh dikatakan bermula dengan pelancaran Klinik 1Malaysia yang telah diwujudkan mulai Januari tahun lepas bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk di kawasan bandar sesuai dengan pendekatan kerajaan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ pada kadar bayaran serendah RM1 sahaja.

5. Ianya disusuli pula dengan pelancaran Inisiatif Klinik Bergerak 1Malaysia yang menawarkan perkhidmatan penjagaan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma ke kampung di kawasan pedalaman.

6. Melalui Klinik Bergerak 1Malaysia ini bas-bas yang telah disediakan akan membawa doktor, jururawat dan staf sokongan untuk merawat mereka yang sakit dan memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti di tempat yang tidak ada kemudahan klinik dan hospital terutamanya di kawasan pedalaman.

7. Perdana Menteri ketika mengumumkan penubuhan Klinik Bergerak 1Malaysia ini menyatakan bahawa kerajaan akan memperkenalkan klinik bot bergerak hibrid untuk memberikan perkhidmatan kesihatan ke kampung yang dihubungkan melalui sungai di Sabah dan Sarawak.

8. Menurut Najib, langkah ini bertujuan memastikan rakyat dapat menikmati kesihatan lebih baik dan menerima pemeriksaan perubatan, ubat dan nasihat yang sewajarnya. “Adalah menjadi impian saya agar semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan, tanpa mengira di mana mereka tinggal," kata Datuk Seri Najib Razak dalam posting beliau dalam blog 1Malaysia.

9. Dan terkini KKM melangkah ke hadapan satu tapak lagi apabila kelmarin melancarkan kemudahan penghantaran perkhidmatan Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP1M).

10. Melalui kaedah ini, penghidap penyakit kronik yang perlu mendapatkan ubat mengikut jadual susulan tidak perlu lagi datang ke hospital bagi mengambil ubat apabila penghantaran ubat kepada pesakit akan menggunakan kaedah penghantaran ekspres yang ditawarkan oleh KKM.

11. Inisiatif ini juga memberi kemudahan kepada pesakit untuk menerima bekalan ubat secara berterusan dengan kadar masing-masing RM5 bagi ubat yang dihantar ke lokasi di Semenanjung Malaysia dan RM6 bagi penghantaran ke lokasi antara Sabah dan Sarawak, manakala kadar RM8 hingga RM10 bagi penghantaran ubat dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak dan sebaliknya.

12. Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika melancarkan kemudahan ini, kaedah yang digunakan itu memudahkan pesakit, malah ianya merupakan perkhidmatan nilai tambah yang ditawarkan oleh hospital kerajaan bagi memudahkan pesakit mendapatkan ubat tanpa perlu datang ke hospital. Tambah Liow lagi, kemudahan itu juga mampu menjimatkan kos untuk ke hospital yang ditanggung pesakit sebelum ini selain dapat menjimatkan masa dan masalah meletak kenderaan.

13. Metodologinya ialah, penghantaran ubat ini akan dilakukan oleh Pos Malaysia Bhd. dengan menggunakan kaedah Pos Laju ke seluruh negara bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai mendapatkan perkhidmatan di hospital dan klinik kerajaan. Sebagai permulaan sebanyak 26 hospital kerajaan telah dikenalpasti untuk menawarkan perkhidmatan ini (UMP1M) bagi memudahkan pengidap penyakit kronik mendapatkan ubat susulan tanpa perlu hadir ke hospital.

14. Penyediaan kemudahan ini ternyata cukup bermakna dan signifikan kepada rakyat terutamanya masyarakat luar bandar dan warga tua yang tidak perlu lagi berulang alik ke hospital. Tambahan pula kedudukan hospital yang jauh dari kediaman yang selama ini menjadi satu halangan yang besar untuk mereka mendapatkan ubat yang diperlukan dapat diatasi melalui kaedah penghantaran ke rumah seperti ini.

15. Justeru dalam konteks penyediaan perkhidmatan kesihatan kita wajar memuji insiatif dan langkah terbaru KKM ini dan diharapkan perkhidmatan ini akan diperluaskan lagi ke semua hospital di seluruh negara tanpa terhad kepada 26 buah hospital itu sahaja agar rakyat di seluruh negara dapat menikmati kemudahan tersebut.

16. Apa yang kita boleh rumuskan ialah perkhidmatan perubatan dan kesihatan juga turut melalui proses transformasi yang hebat sejak Najib memulakan usaha transformasi beliau dalam pelbagai bidang.

17. Komitmen dan pelbagai inisiatif seperti ini jelas membuktikan tahap keprihatinan dan keikhlasan pihak kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat, membela nasib golongan yang kurang mampu serta membuka ruang akses kepada masyarakat luar bandar untuk turut sama menikmati kemudahan kesihatan yang berkualiti sama seperti masyarakat di kawasan bandar.

18. Penulis berharap agar pihak kerajaan akan meneruskan lagi inisiatif-inisiatif murni seperti ini agar seluruh rakyat Malaysia mampu akses kepada kemudahan rawatan perubatan yang berkualiti demi melahirkan sebuah masyarakat yang sihat and cergas.

No comments: