Monday, February 14, 2011

PENGIKTIRAFAN AS BUKTI KEWIBAWAAN NAJIB, BN
1. Jarang-jarang sekali kita mendengar pemimpin utama Amerika Syarikat (AS) memuji sesebuah negara membangun apatah lagi negara kecil seperti negara kita. Namun itu yang berlaku kelmarin semasa pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Setiausaha Negara AS, Hillary Rodham Clinton di Jabatan Negara AS.



2. Muhyiddin menyatakan bahawa Clinton kagum dengan apa yang telah dicapai oleh Malaysia sehingga melabel Malaysia sebagai model negara membangun. Pengiktirafan ini adalah berdasarkan penilaian AS terhadap tiga (3) perkara asas dan utama yang dimiliki oleh Malaysia iaitu kesuburan sistem demokrasi, mempunyai kerajaan yang efektif dan mengalami pembangunan ekonomi yang baik.



3. Menurut Clinton lagi, kebanyakkan negara membangun hanya mampu mencapai satu atau dua daripada tiga perkara tersebut tetapi Malaysia ada ketiga-tiganya dan untuk itu Clinton merngesyorkan agar Malaysia sebagai model negara membangun yang patut dicontohi oleh negara dunia ketiga yang lain.



4. Pengiktirafan dan pujian daripada AS dan Clinton ini cukup tinggi harga dan nilainya kepada kita kerana ianya datang daripada sebuah negara dan kuasa besar di dunia. Kita berharap agar pujian dan pengiktirafan ini benar-benar ikhlas dan bukannya dibuat semata-mata untuk menjaga hati mahupun meraih sokongan kita.



5. Untuk rekod ini bukanlah kali pertama pemimpin utama dunia memuji dan mengiktiraf kemajuan negara kita di mana kita masih segar dengan kenyataan Mufti Syria, Sheikh Ahmad Badr al-Deen pada tahun lepas yang menyifatkan Malaysia sebagai model masyarakat majmuk dengan kiasan bahawa ianya sebagai ‘bunga-bunga yang berkembang di dalam taman’.



6. Ini menunjukkan bahawa pemimpin dunia dan negara luar mengakui kehebatan negara kita dalam pelbagai aspek baik poltik, sosial mahupun ekonomi sehingga memberikan pengiktirafan seperti di atas.



7. Namun apa yang dikesali ialah di kala pihak luar mengagumi dan mengiktiraf kemampuan dan kehebatan kita, ada pula segelintir rakyat kita sendiri yang sanggup merosakkan imej dan nama baik negara kita di dunia luar dan ada juga yang tidak mahu menerima kenyataan tentang kemampuan dan kebolehan kerajaan pimpinan Najib dan Barisan Nasional (BN).



8. Seantero dunia mengagumi dan mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh Malaysia yang dipimpin oleh Najib dan BN dalam segenap aspek baik isu tempatan mahupun antarabangsa yang sewajarnya dilihat sebagai bukti kehebatan dan kemampuan pihak kerajaan dalam terus mencipta kegemilangan di persada antarabangsa.



9. Sungguh menyedihkan apabila segelintir rakyat kita sendiri masih menegakkan benang yang basah dan mempertahankan pihak-pihak yang jelas hanya mementingkan agenda peribadi masing-masing secara membabi buta dan melulu tanpa mahu meneliti fakta dan bukti yang terbentang luas di hadapan mereka.



10. Akibatnya pelbagai polemik politik dan sosial cuba dicetuskan kononnya untuk menunjukkan bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Najib dan BN ini tidak efektif, tidak demokrasi, berat sebelah dan menzalimi rakyat.



11. Lantaran itu juga pelbagai tuduhan demi tuduhan dilemparkan dalam bentuk fitnah tanpa bukti yang asas untuk membuktikan dan mengiyakan segala tuduhan mereka tersebut agar terus dapat menggaburi mata rakyat di samping mewujudkan perasaan benci kepada kerajaan.



12. Persoalannya ialah kenapa sukar sangat untuk menerima hakikat dan kenyataan? Apakah kenyataan dan pengiktirafan Mufti Syria dan Clinton itu masih belum menyakinkan dan mencukupi? Dan golongan ini mahukan bukti yang bagaimana lagi?



13. Dalam merungkai persoalan ini, penulis ingin berpesan kepada golongan yang sengaja buat-buat tidak tahu dan menafikan pengiktirafan yang diraih oleh kerajaan agar belajarlah untuk menerima kebenaran walaupun ianya pahit untuk diterima dan diakui.



14. Sebagai rakyat Malaysia kita sewajarnya berbangga dengan pengiktirafan seperti itu. Ternyata sistem demokrsai yang kita amalkan selama ini membuahkan hasil yang terpuji dan membanggakan. Semua pihak diberi hak dan kebebasan yang sama rata mengikut kontrak sosial dan Perlembagaan negara. Rakyat pelbagai agama dan keturunan dapat hidup aman dan damai sebagai sebuah bangsa yang maju dan merdeka.



15. Dalam hal ini tiada siapa yang boleh menafikan budaya kebebasan bersuara hingga ke ruang kebebasan berpolitik yang wujud di negara kita. Bukankah ini membuktikan keikhlasan dan ketelusan pihak kerajaan?



16. Dari segi ekonomi pula, pelbagai inisiatif ekonomi yang diwujudkan oleh Najib melalui program-program transformasi ekonomi adalah jelas merupakan kesinambungan kelestarian dalam pembangunan mapan ekonomi negara yang telah dirintis oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Ini membolehkan pembangunan ekonomi kita terus menikmati kemajuan dan pertumbuhan yang masih boleh dibanggakan walaupun pada ketika kemelesetan ekonomi dunia akibat pelbagai krisis antarabangsa. Apakah kita lupa pujian dan pengiktirafan dunia terhadap keberanian pihak kerajaan dalam mengatasi krisis ekonomi pada tahun 1997 mengikut acuan kita sendiri?



17. Kesemua ini bukan mudah untuk dicapai mahupun dipertahankan jika kita tidak memiliki sebuah kerajaan yang efektif dan berdaya saing. Hal ini berjaya dibuktikan oleh kerajaan BN yang sekian lama memerintah negara kita melalui enam orang Perdana Menteri dengan Najib dilihat sebagai penyambung legasi dan penerus warisan kecemerlangan kepimpinan negara yang dipelopori oleh BN.



18. Justeru apa yang diharapkan ialah agar rakyat akan terus memberi sokongan yang padu dan tidak berbelah bagi kepada Najib dan BN agar dapat terus mencorakkan masa depan Malaysia yang lebih berdaya saing dan cemerlang di persada antarabangsa.



19. Wawasan 2020 dan impian untuk menjadi sebuah negara maju dan negara berpendapatan tinggi adalah cita-cita murni pihak kerajaan untuk manfaat generasi masa depan. Justeru kerajaan yang ada pada hari ini memerlukan sokongan, kepercayaan dan keyakinan dari segenap lapisan masyarakat yang perlu bersatu padu, bermuafakat dan bertolak ansur dalam konteks 1Malaysia agar impian dan cita-cita murni tersebut dapat direalisasikan.

No comments: